Pengalaman Membeli Kereta Saga 1.3 Premium
- Cik Mas
- Jan 1, 2025
- 3 min read
Updated: Jan 4

Saya pasti ada antara kita yang tak tahu macam mana nak beli kereta pertama. Sayalah antara yang tak tahu tu, haha. Untuk blog kali ini, saya nak kongsi proses unik yang saya lalui untuk membeli kereta Saga 1.3 Premium.
Cari info mengenai kereta
Carilah kereta yang kena dengan bajet anda. Saya minta cadangan kawan-kawan, keluarga dan tengok reviu di Youtube.
Tentukan pilihan kereta
Lepas dah yakin dengan keputusan, maka saya memilih Saga Premium. Mula-mula nak Axia sebab kecik dan rasa sesuai dengan personaliti diri, tapi termakan kata-kata kawan yang kata Axia mahal dan kecik. Ditambah pula dengan reviu di Youtube dan ahli keluarga pun pakai Proton, maka saya pun terpengaruhlah!
Cari staf jualan Di proses ni, saya tanya harga kereta, insuran, bayaran bulanan dan proses-proses untuk membeli kereta. Saya juga diminta untuk hantar dokumen-dokumen peribadi seperti salinan kad pengenalan; penyata gaji dan akaun bank.
Okey part ni, unik dan tersendiri. Sebab apa? Sebab saya rasa ianya menyukarkan; jadi saya tak nak anda ikut. Kronologi cerita:
Saya tanya keluarga dan kawan-kawan jika mereka ada kenalan-kenalan yang jual kereta; dipendekkan cerita, saya pun berhubunglah dengan staf jualan yang duduk di luar Selangor; saya pula di Selangor.
Pada mulanya, tiada masalah kerana saya telah diberi jaminan yang saya boleh ambil kereta di pusat pameran kereta yang berdekatan dengan kawasan rumah.
Namun, kusangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Saya diberitahu yang saya perlu ambil kereta di Kuala Lumpur kerana kawannya telah berpindah ke sana. Pada ketika itu, saya hampir ingin menamatkan urusan dengannya kerana jauh. Saya pun memaklumkan perkara ini kepada abang (sebab dia yang akan pandu dan bawa balik kereta ini), tak disangka-sangka; abang kata okey.
Disebabkan itu, urusan pembelian ini pun diteruskan.
Tunggu pinjaman diluluskan Tak lama saya tunggu pinjaman saya diluluskan. Dalam seminggu atau kurang. Pinjaman lulus atau tidak, akan diberitahu oleh staf jualan. Jika dah lulus, boleh pergi ke bank untuk tanda tangan dokumen sewa beli.
Pergi Maybank tanda tangan dokumen sewa beli
Saya ingat hanya perlu ambil kereta di Kuala Lumpur, nah, tanda tangan dokumen pun di Kuala Lumpur! Apabila ditanya kenapa tak boleh dilakukan di kawasan bandar saya seperti sebelum ini, "tak boleh transfer sebab sistem baru", dakwanya. Di proses ini, saya diberikan perjanjian sewa beli kereta. Saya tanyakan soalan seperti jenis dan jumlah tempoh pinjaman; berapa kenaikan harga kereta; bayaran bulanan, kegagalan pembayaran dan sebagainya. Saya juga minta tambah insuran auto life. Pegawai bank berikan sebut harga dan saya perlu transfer ke akaun bank yang diberikan.
Ambil kereta
Inilah masa yang ditunggu-tunggu! Saya ambil kereta di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Di proses ini, saya berjumpa dengan staf jualan yang menjadi wakil kepada staf jualan di luar Selangor itu. Saya tanyakan mengenai dokumen, waranti, khidmat tunda kereta (car towing service) dan peril khas (special perils). Itu sahaja! Nak tahu apa soalan-soalan yang anda perlu tanya kepada car dealer and banker? Baca artikel yang seterusnya di sini.






Comments