Tiga Panduan Yang Anda Boleh Cuba Jika Ingin Menukar Kerjaya Di Tahun 2023.
- Cik Mas
- Sep 19, 2023
- 2 min read
Updated: Dec 12, 2023

Setelah tujuh tahun saya bekerja di sebuah syarikat jenama fesyen tempatan, saya mengambil keputusan untuk berhenti dan ketahuilah, ini ialah salah satu keputusan yang paling sulit yang saya pernah lakukan dalam kehidupan dewasa ini.
Pada konten kali ini, saya ingin berkongsi tiga panduan yang anda boleh cuba jika ingin menukar kerjaya di tahun 2023 ini.
Sediakan duit simpanan bajet asas selama enam bulan.
Sertai kelas-kelas yang berkaitan dengan kerjaya baharu.
Rancang jadual harian dan patuhinya sebaik mungkin.
Cara pertama ialah simpanan wang selama enam bulan bajet asas anda. Ini berdasarkan maklumat yang saya peroleh daripada pencarian dan pembacaan saya di internet. Mengapa enam bulan bajet asas? Mengikut kesimpulan saya, bajet ini mencukupi untuk pembiayaan diri seandainya masih belum berupaya mendapatkan pendapatan yang stabil dalam masa setengah tahun selepas berhenti kerja.
Bajet asas terdiri daripada komitmen sewa bulanan, langganan, utiliti dan jangan terkejut, rekreasi pun perlu ada dalam bajet tersebut! Ilmu ini saya peroleh daripada pembacaan buku kewangan berjudul Bergaji & Pokai karangan Suraya Zainudin.
Jika dahulu, saya tidak pernah terfikir malah memandang enteng untuk memasukkan perbelanjaan rekreasi dalam bajet asas saya, namun apabila saya diuji dengan masalah kesihatan mental, saya mengambil berat tentang kepentingan dan keperluannya.
Cara kedua ialah menyertai kelas-kelas berbayar mahupun percuma. Ini adalah penting bagi memantapkan ilmu dan menyiapkan diri untuk memasuki alam kerja yang baharu. Saya telah menyertai tiga kelas penulisan berbayar oleh Iera Yusof, Zamri Mohammad dan Mazlan Mohammad. Selain daripada itu, saya juga telah menyertai kelas pemasaran berbayar oleh Keret Meraki bagi mengasah kefahaman dan meningkatkan ilmu pengetahuan yang terkini tentang pemasaran konten digital secara amnya.
Selain daripada menyertai kelas yang berbayar, saya juga telah menyertai webinar kerjaya oleh Career Cube bagi memantapkan pemahaman tentang perkembangan kerjaya masa kini dan memperbaik cara menulis resume. Webinar tersebut semuanya percuma!
Cara ketiga dan yang terakhir ialah merancang jadual harian. Ini termasuklah jam untuk bekerja dan berehat. Cara ini sesuai untuk mereka yang ingin bekerja sendiri atau dari rumah. Saya berusaha mencipta suasana tempat bekerja seperti berada di dalam pejabat yang sebenar bagi memotivasikan diri. Selain daripada mencipta pejabat kecil di rumah, saya juga berdandan seperti perlu keluar bekerja. Barulah bermotivasi dan bersiap sedia untuk bekerja dari rumah!
Anda ada panduan tambahan untuk mereka yang ingin bertukar kerjaya? Kongsilah di ruangan komen!
Comentários