Tiga Kebaikan Mendengar Muzik Buat Anda
- Cik Mas
- Aug 14, 2023
- 2 min read
Updated: Nov 18, 2023
Masuk kerja, balik kerja, bahkan apabila sedang mandi pun ada yang suka memasang lagu! Pernah terfikir tidak, apa kebaikan mendengar muzik pada kesihatan anda? Nah, di sini penulis akan kongsikan pelbagai kesan positif muzik dalam kehidupan kita, sedar ataupun tidak.
1. Kesihatan mental
Sesetengah orang mendapat ketenangan, tenaga dan motivasi melalui muzik. Tahukah anda bahawa muzik dapat membantu mengurangkan kegelisahan, kemurungan, tekanan dan memperbaiki simptom autisme melalui kaedah terapi muzik.(1)
Terapi muzik merupakan rawatan yang berkesan kerana rangka kerja psikoterapuetik yang digunakan berhasil dalam membantu meringankan dan menguruskan gejala penyakit.
Terapi ini membantu meningkatkan kesedaran, cara pandangan dan kefahaman dalam memahami penyakit mental yang dialami pesakit serta bagaimana ianya memberi kesan kepada emosi, tingkah laku, perhubungan dan fungsi keseluruhan diri mereka.(2) Ada beberapa kaedah yang akan digunakan dan menulis lagu adalah salah satunya. Sungguh menarik!
2. Kesihatan fizikal
Pasti ramai yang gemar memasang lagu-lagu dengan tempo laju sewaktu melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam, bukan? Antara kesan positif mendengar muzik pada kesihatan fizikal termasuklah meningkatkan kesihatan jantung, mengurangkan keletihan, meningkatkan prestasi senaman dan dapat mengurus kesakitan.(3)
Selain daripada itu, terdapat salah satu kajian daripada Jurnal Pergerakan, Kesihatan dan Senaman Malaysia (MoHE) yang membuktikan bahawa terdapat kesan mood positif apabila muzik digunakan dalam sesi aktiviti pendidikan jasmani. Kaedah ini didakwa dapat mengurangkan rasa keletihan, meningkatkan motivasi dan semangat, menjauhkan sifat rasa bimbang dan tidak yakin.
Selain itu, ianya juga dapat menyumbang kepada potensi diri secara menyeluruh, meningkatkan kekuatan otot, menghilangkan tekanan dan memberi impak yang lebih baik terhadap perkembangan emosi murid-murid.(4)
3. Interaksi sosial
Muzik juga dapat menjalin hubungan sosial. Pelbagai isu yang boleh dibincangkan berkenaan muzik bersama kenalan anda. Misalnya melodi lagu, lirik bahasa, penggunaan instrumen muzik, latar belakang penyanyi mahupun agensi yang menguruskan penyanyi atau kumpulan muzik tersebut.
Kemunculan penggiat Youtube dan pempengaruh media sosial yang berkongsi reviu tentang isu-isu semasa berkaitan muzik seperti acara anugerah, penyanyi, video muzik atau lagu yang tular telah membuktikan bahawa muzik merupakan medium yang dapat mengumpul dan membentuk satu komuniti yang unik kerana pendengarnya datang daripada latar belakang dan kecenderungan yang berbeza.
Tuntasnya, anda bukan sahaja boleh bertukar pendapat dan kritikan malah mungkin beroleh kenalan yang baharu! Ini sedikit sebanyak dapat membantu anda mengecapi kehidupan sosial yang sihat dan baik.
Ternyatalah terdapat pelbagai kesan positif apabila kita mendengar muzik. Ianya membantu dalam meningkatkan kualiti kesihatan mental, fizikal dan perhubungan sosial.
Setelah anda membaca artikel ini tahulah anda bahawa anda telah melakukan sesuatu yang baik buat kesihatan anda dengan hanya mendengar muzik. Tahniah!
Artikel ini bermanfaat? Kongsikan supaya lebih ramai dapat membacanya.
Rujukan
Aziz, F. (2022, September 12). Muzik Bukan Akan Melalaikan, Tetapi Adalah Terapi Berguna! Ini 5 Manfaatnya. Retrieved from hellodoktor.com: https://hellodoktor.com/kesihatan-mental/pengurusan-stress/muzik-bukan-melalaikan-tetapi-satu-terapi/
Music Therapy in Mental Health. (n.d.). Retrieved from Malaysian Music Therapy Association (MMTA): https://www.mmta.org.my/info-cards
Stanborough, J. R. (2020, April 1). The Benefits of Listening to Music. Retrieved from www.healthline.com: https://www.healthline.com/health/benefits-of-music
Kamarudin, K. A., & Ismail, M. (2019, January 17). Kesan Muzik Semasa Aktiviti Kegiatan Jasmani Terhadap Mood Murid-Murid Sekolah Rendah. Malaysian Journal of Movement, Health & Exercise, 8(1), 45-56.
Comentários