top of page

Pengalaman Mendapatkan Rawatan Psikologi Di Jiwa Damai | My Psychology Therapy Experience at Jiwa Damai

  • Writer: Cik Mas
    Cik Mas
  • Jan 6, 2024
  • 4 min read

Updated: May 30, 2024


A selfie of two women.
Foto oleh Cik Mas.

Pada penulisan kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman saya menjalani terapi psikologi di Pusat Pakar Psikologi Jiwa Damai bertempat di Shah Alam. Saya juga akan berkongsi proses sebelum, semasa dan selepas sesi terapi tamat. Bagi anda yang sudah lama mencari-cari blog artikel yang berkongsi tentang pengalaman menjalani terapi psikologi, anda berada di tempat yang betul!

 

Kenapa saya pergi terapi?


Saya memutuskan untuk pergi mendapatkan rawatan terapi psikologi kerana saya telah disahkan menghidapi penyakit mental oleh doktor psikiatri di hospital kerajaan. Bagi mempercepat proses penyembuhan, saya mengambil langkah untuk mendapatkan rawatan terapi psikologi di klinik psikologi swasta.


Apa yang anda perlu tahu atau lakukan sebelum mendapatkan terapi psikologi?


Ada dua perkara yang anda perlu lakukan sebelum mendapatkan terapi psikologi iaitu mengkaji dan yakin dengan keputusan yang dibuat.

 

1. Research, research, and research! Tiga kajian yang saya lakukan ialah:

  • lokasi klinik

  • jenis rawatan yang disediakan

  • kos bagi satu sesi terapi

Selepas membuat kajian demi kajian dan mengambil berat tentang kemampuan kewangan, saya memutuskan untuk pergi ke lokasi yang paling dekat dengan rumah dan banyak mendapat ulasan positif di Google review. Klinik yang saya pilih itu ialah Pusat Pakar Psikologi Jiwa Damai di Shah Alam.

 

2. Yakin dengan keputusan

Bukan mudah sebenarnya ingin menjejakkan kaki ke klinik terapi. Saya ada rasa ragu-ragu, persoalkan keputusan saya, malu, bingung, resah, bersalah dan bermacam-macam lagilah! Betul kata Dr. Hazli Zakaria dalam satu ceramah kesihatan mental, “orang yang pergi dapatkan rawatan kesihatan mental ini sebenarnya orang yang berani, bukan lemah!”.

 

Satu lagi yang saya ingin pesan, satu sesi terapi belum cukup untuk membantu anda sembuh.


Berapa harga terapi psikologi di Jiwa Damai?


Pada sesi pertama, RM150. Pada sesi intervensi yang seterusnya, RM210. Deposit perlu dilakukan dua hari sebelum tarikh sesi terapi.


Apa yang anda perlu tahu atau lakukan semasa mendapatkan terapi psikologi?


Ada dua perkara yang anda perlu lakukan semasa mendapatkan terapi psikologi iaitu mengisi borang persetujuan dan bersedia untuk rasa tidak selesa.

 

1. Isi borang persetujuan

Anda dikehendaki untuk mengisi borang persetujuan. Seingat saya, borang ini ada menyatakan terma dan syarat seperti cara terapi dijalankan, bidang kuasa ahli terapi, apa yang perlu dilakukan jika klien tidak berpuas hati dengan servis dan sebagainya.

 

2. Bersedia untuk rasa tidak selesa

Disebabkan ini pengalaman pertama saya, sungguh saya rasa canggung. Sudahlah saya sendiri ragu-ragu dengan keberadaan saya di situ, malah disuruh menceritakannya kepada orang asing pula! Haha. Namun, disebabkan suasana di bilik terapi itu tenang, tidak ada gangguan dan sikap pegawai psikologi yang professional, ianya sedikit sebanyak membantu saya untuk meluahkan masalah dan perasaan yang terbuku dalam hati.

 

Jangkakan pertanyaan seperti:

“Kenapa datang ke sini? Apa yang awak nak saya bantu?”

“Masih ada ibu bapa? Adik beradik berapa orang?”

 “Bagaimana hubungan dengan pasangan, ibu bapa, adik beradik dan rakan-rakan?”

“Kerja apa? Bagaimana hubungan dengan boss dan rakan sekerja?”

“Bagaimana kehidupan anda sewaktu kecil?”

 

Mereka akan tekun melakukan tugas mereka: mendengar dan mencatat. Don’t mind them, focus on your story and feeling.

 

Berapa kali sesi baru nampak hasil?


Bergantung. Dalam kes saya, saya menamatkan sesi terapi pada kali yang kesembilan. Disebabkan faktor ekonomi, saya memilih untuk menetapkan temu janji selama sebulan sekali.

 

Anda bebas menentukan tarikh sesi terapi. Seminggu sekali boleh, dua bulan sekali pun boleh! Bergantung kepada kemampuan ekonomi, logistik, kesihatan dan faktor-faktor yang lain.

 

Kenapa dapat “homework” daripada ahli terapi?


Inilah cara mereka merawat minda anda! Percayalah, kerja-kerja rumah ini tidak dapat tidak turut serta memainkan peranan utama dalam proses penyembuhan anda.

 

Antara kerja rumah yang saya dapat sepanjang terapi ialah:

a. latihan pernafasan

b. cara menulis “thought record”

c. cara berkomunikasi dengan tegas

d. cara menggunakan ““I” statement”

e. cara menentukan nilai diri

 

Sekeping kertas yang diberi psikologis usai sesi terapi ini bukanlah hanya sekeping kertas semata-mata. Apa yang tercetak atasnya merupakan satu kaedah rawatan yang amat penting dan terbukti dalam membantu mengurus simptom-simptom penyakit yang anda hidap. Jika doktor psikiatri beri anda ubat dalam bentuk pil, ahli psikologi pula beri dalam bentuk kata-kata dan kerja-kerja rumah ini.



Apa perlu buat jika rasa putus asa dengan terapi?


Tipulah jika katakan prestasi kesihatan mental saya sentiasa menaik sepanjang sesi rawatan. Saya masih berhadapan dengan pemikiran negatif dan ragu-ragu dengan keberhasilan terapi ini.

 

Antara perkara yang anda boleh cuba ketika berada dalam fasa ini ialah mendapatkan sokongan sosial, membaca kisah-kisah orang lain yang berjaya sembuh kerana pergi terapi dan mengikuti laman sosial ahli profesional kesihatan mental.

 

Selain daripada itu, anda juga boleh mengadu kekhuatiran yang anda hadapi kepada ahli terapi yang merawat anda. Inilah peluang dan masa yang tepat untuk belajar meluahkan dan berkongsi masalah!



Apa yang anda perlu tahu atau lakukan selepas mendapatkan terapi psikologi?


Saya menggambarkan sesi terapi yang saya jalani ini seperti menghadiri kursus pemantapan dan pengendalian emosi. Oleh itu, ada perasaan teruja, lega dan tak kurang juga takut. Persoalan seperti “betulkah aku sudah sembuh?” atau “mampukah aku mengurus stres dan ujian yang mendatang?” sekali sekala hadir di benak.

 

Pada ketika inilah saya sedar akan manfaat mencatat segala perkara yang berlaku kepada diri saya sepanjang terapi dalam buku. Catatan inilah yang saya gunakan bagi mengingat semula teknik-teknik yang saya telah belajar bersama ahli psikologi. Syukur, alhamdulillah!

 

Selain daripada itu, saya juga berkongsi perihal terapi psikologi yang saya lalui di media sosial. Di samping ingin menyebarkan kesedaran akan kepentingan menjaga kesihatan mental kepada umum, saya juga ingin mengukuhkan kefahaman dan ingatan tentang segala skil yang diajar psikologis bagi mengendali emosi dan pemikiran dengan baik dan berstruktur pada masa akan datang.

 

Saya amat berharap lebih ramai yang berani mendapatkan perkhidmatan kaunselor, psikologis dan doktor psiakitari selepas membaca pengalaman saya mendapatkan sesi terapi psikologi ini.

 

Percayalah, ianya tidaklah sesukar yang disangka! Manfaat yang anda akan rasai lebih besar daripada kata-kata negatif yang berada dalam benak anda mahupun orang sekeliling.

 

Selain Jiwa Damai, ada lagi tempat lain?


Sudah tentu! Senarai di bawah ini merupakan pusat-pusat terapi kesihatan mental yang saya ikuti di media sosial. Anda boleh menghubungi mereka di laman web atau media sosial.

 

Khidmat psikiatri, psikologi dan kaunseling

 

Khidmat psikologi dan kaunseling

 

Khidmat kaunseling

 

Artikel ini bermanfaat? Kongsikan di media sosial anda supaya lebih ramai beroleh pengetahuan dan manfaatnya.


 
 
 

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page