top of page

6 Cara Bagaimana Menjaga Kesihatan Mental Ketika Menjaga Ibu Bapa Yang Tua.

  • Writer: Cik Mas
    Cik Mas
  • May 31, 2024
  • 4 min read

A text on a paper read "Mastura jago Mek dio molek."
Photo by Cik Mas

Saya rasa tak ramai orang mahu berkongsi pahit manis menjaga ibu bapa yang uzur. Konten jaga bayi tak terhitung banyaknya, tetapi bagaimana pula dengan “bayi tua”? Mungkin kerana topik ini sensitif dan kita semua takut jatuh dalam golongan anak derhaka. Sebenarnya, saya pun rasa benda yang sama, haha.


Kelompangan ini membuatkan saya rasa terpanggil nak kongsi cabaran-cabaran menjaga orang tua dan enam cara bagaimana saya menjaga kesihatan mental ketika menjaga ibu yang tua.


Sejarah ibu


Saya nak mulakan dengan sedikit latar belakang ibu saya. Sedari kecil, saya sudah didedahkan dengan panorama seorang penjaga menjaga orang yang sakit; ibu sebagai penjaga dan ayah sebagai pesakit, sehinggalah ayah saya meninggal dunia pada tahun 2004.

 

Tidak berhenti di situ, dalam jarak 6-7 tahun kemudian, ibu saya diuji sekali lagi apabila abang saya pula jatuh sakit. Ketika itu saya sedang sibuk belajar di menara gading. Pada tahun 2015, abang sulung saya pula meninggal dunia.

 

Cabaran menjaga orang tua


Meskipun saya sudah terbiasa melihat ibu menjaga anggota keluarga yang sakit, ianya tidak bermakna saya boleh melakukan hal yang sama kepada ibu dengan mudah dan lancar. Allah Maha Bijaksana, saya tidak terkecuali daripada cabaran, dugaan dan juga tekanan.

 

Pada masa artikel ini ditulis, ibu saya mengalami kesukaran untuk bergerak kerana sakit lutut, obesiti dan bongkok. Antara cabaran yang saya hadapi sebagai penjaga orang tua:


  1. Perubahan rutin. Sebelum ini, rutin harian hanya melibatkan diri saya sahaja. Apabila ibu datang, ianya perlu diubah dan disesuaikan mengikut keutamaan. Contohnya, pagi-pagi saya dah kena sediakan sarapan pagi ibu. Kalau nak ikut waktu makan saya, berlaparlah ibu, haha.

  2. Selera tekak ibu yang tersendiri. Sesuatu yang baharu yang saya belajar mengenai selera ibu: nasinya harus baharu masak, tidak boleh lembik, tidak boleh keras, tidak boleh pedas, dan tidak mahu lauk yang berulang kali diperhangat. Senang cerita, sedap macam beliau masak, haha! Ianya cabaran untuk saya kerana saya hidup bujang dan saya okey sahaja makan lauk yang sama selama beberapa hari. Kitonyo tok hebak masok mace dio. Pening kepalo fikir menu untuk dio, haha.

  3. Ibu mengalami kesukaran untuk membersihkan dirinya dengan baik. Jadi saya yang akan mencuci rambut dan badannya. Ada masanya saya perlu memanaskan air untuknya, untuk pujuk dia mandi.

  4. Ingatan ibu juga sudah terjejas. Kalau ibu cerita atau tanya perkara yang sama dan berulang kali, saya layan dan bersabar sahaja.

  5. Ibu, sama seperti saya dan anda ada waktu moody dan beremosi. Jadi perbalahan kecil, bermasam muka, berasa hati itu sering kali terjadi.


6 cara bagaimana saya menjaga kesihatan mental ketika menjaga ibu yang uzur:


  1. Sabar, sabar dan sabar.

  2. Perbaiki komunikasi. Saya bersyukur saya pernah pergi terapi percakapan. Dari situ, saya belajar banyak tentang cara berkomunikasi secara efektif seperti “I” statement dan komunikasi asertif. Contoh komunikasi yang berkesan yang saya selalu lakukan: “Mek, adik nak rehat setengah jam, adik penat.” Beritahu kadar masa dan beritahu perasaan anda.

  3. Jaga kesihatan mental dan emosi. Sekali lagi, saya banyak belajar mengurus stres daripada terapi percakapan seperti rekod pemikiran, pernafasan dalaman, batasan dan sebagainya. Ianya sedikit sebanyak membantu saya mengurus tekanan hidup dengan lebih berstruktur dan baik daripada sebelum ini.

  4. Me time. Ah, betapa pentingnya perkara ini! Me time saya seperti mengasingkan diri sebentar, duduk di dalam bilik, melakukan hobi, bermain dengan kucing dan keluar mengambil angin. Keluar beli barang dapur pun dah happy dan release!

  5. Dapatkan sokongan. Tak ramai boleh faham tekanan menjadi penjaga kepada orang tua. Jadi kalau ada tempat meluah yang selamat dan tidak menghukum, bersyukurlah! Alternatif lain, dapatkan sokongan daripada komuniti yang mengangkat isu ini seperti grup sokongan, ahli profesional kesihatan mental dan sebagainya. Saya ingin mendedikasikan jutaan terima kasih kepada teman rapat saya yang sudi mendengar dan berkongsi rasa dan pengalaman yang sama.

  6. Satu perkara baharu yang saya belajar daripada teman saya: ubah cara berfikir daripada anak kepada “carer”. Maksudnya, anda menjadi “ibu dan bapa” kepada mereka. Kalau sewaktu kecil, mereka ialah ibu bapa kita, pada masa sekarang jadikan sebaliknya. Dengan cara ini, kita akan menjadi lebih bijak mengurus jangkaan dan batasan, menjadi tegas pada masa dan tempat yang betul dan hal-hal yang bersangkutan dengannya. Saya fikir, mindset ini akan membantu urusan penjagaan ini menjadi sedikit ringan dan kita tidak lagi menghukum diri kita secara berlebihan mahupun sewenang-wenangnya.


Ada pernah satu ketika, emosi saya tidak baik dan saya berasa marah, namun ibu menuntut sesuatu. Berkatalah dalam diri dan hati saya: “Ya Allah, sesungguhnya aku lakukan ini untuk mendapat keredaan-Mu. Berilah aku kesabaran dalam menjaga ibuku. Ampuni aku dan berikanlah aku syurga.” Saya bersyukur sangat saya tak meninggikan suara dan bersabar memenuhi permintaan ibu. Saya melakukannya dengan tenang, lapang dan sabar. Alhamdulillah.

 

Saya berharap golongan-golongan penjaga/ pengasuh orang tua ini diberikan penghargaan, kasih sayang dan pertolongan yang sewajarnya daripada kaum keluarga, pasangan dan masyarakat.


Sebagai penutup, saya ingin berkongsi satu hadis tentang kepentingan berbuat baik kepada ibu bapa sebagai peringatan untuk diri sendiri saya juga.

 

Daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ قَالَ ‏"‏ الصَّلاَةُ لِوَقْتِهَا ‏"‏ ‏ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ ‏"‏ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ ‏"‏ ‏ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ ‏"‏ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏"‏ ‏

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan amalan apakah yang paling afdhal, lalu Baginda menjawab: “Solat pada waktunya.” Kemudian aku bertanya lagi, apakah amalan yang seterusnya? Jawab Baginda: “Berbakti kepada kedua ibu bapa.” Kemudian aku bertanya, apakah lagi seterusnya? Jawab Baginda: “Berjihad di jalan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (85)

Semoga anak-anak yang menjaga ibu bapanya dengan kasih sayang dan sabar beroleh nikmat rezeki yang melimpah ruah yang tidak pernah habis sepanjang hidup mereka. Semoga kesabaran dan pengorbanan kita semua dibalas dengan nikmat syurga kelak. Amin yarabbal alamin!

 

Artikel daripada KKM ini sangat berinformasi untuk dibaca oleh penjaga dan pengasuh orang tua.

 

See you on the next post!

 
 
 

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page