Penting! 6 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Membeli Insurans dan Takaful Perjalanan.
- Cik Mas
- Oct 25, 2023
- 5 min read
Updated: Feb 10
Penafian: Rencana ini mengandungi perkataan bunuh dan mencederakan diri. Amalkan penjagaan diri dengan sebaiknya.
Dalam keterujaan memulakan percutian setelah lama merancang, majoriti daripada kita sudah semestinya memastikan barang kelengkapan seperti pakaian, wang tunai, kad kredit, dokumen pengenalan diri, pasport dan yang berkaitan dengannya serba lengkap. Namun, jangan dilupakan sesuatu yang amat penting, yang berkemungkinan masih dianggap remeh dan tidak penting oleh sesetengah orang, iaitu mengambil insurans dan takaful perjalanan.
Artikel ini akan berkongsi tentang perkara-perkara penting yang perlu anda tahu sebelum membeli insurans dan takaful perjalanan.
Konten :
Apa itu insurans dan takaful perjalanan?
6 perkara yang anda perlu tahu sebelum membeli insurans dan takaful perjalanan.
Jenis perjalanan
Destinasi pelancongan
Kovensional atau takaful?
Individu, keluarga atau kumpulan?
Bandingkan harga!
Apa yang dilindungi dan dikecualikan
Di mana mahu membeli insurans dan takaful perjalanan ini?
1. Apa itu insurans dan takaful perjalanan?
Sebelum kita menghuraikan faktor-faktor yang perlu diambil kira sebelum membeli polisi perlindungan ini, mari kita ketahui apa itu insurans dan takaful perjalanan. Insurans dan takaful perjalanan ini ialah polisi insurans yang memberikan perlindungan dan menjamin pampasan wang kepada individu yang mengalami kecelakaan ketika melancong ke sesebuah destinasi. Antara jenis kecelakaan yang dilindungi pihak insurans ialah:
Perlindungan daripada Covid-19 (komplikasi, kos kuarantin)
Perbelanjaan perubatan
Kematian dan hilang upaya kekal
Pembatalan percutian/ kesulitan perjalanan
Kecemasan
Bencana alam
2. 6 perkara yang anda perlu tahu sebelum membeli insurans dan takaful perjalanan.
i. Jenis perjalanan.
Terdapat tiga jenis perjalanan yang anda perlu pilih iaitu perjalanan sehala (one way trip), dua hala (full trip) ataupun secara tahunan (annual trip). Perjalanan sehala bermaksud perjalanan pergi atau balik, dua hala bermaksud perjalanan pergi dan balik manakala tahunan bermaksud sepanjang tahun. Senario-senario di bawah dapat dijadikan panduan untuk anda bezakan jenis apa yang perlu dipilih:
Malaysia – Thailand: Perjalanan sehala.
Malaysia – Thailand – Indonesia – Malaysia: Perjalanan dua hala
Sekiranya anda merupakan seorang yang kerap melancong dalam setahun, dan menuju ke pelbagai jenis destinasi domestik mahupun antarabangsa, anda amat disarankan untuk mengambil pakej secara tahunan. Ianya bukan sahaja satu langkah yang proaktif, malah menjimatkan!
ii. Destinasi pelancongan.
Destinasi pelancongan dengan perbezaan matawang asing sudah semestinya akan mempengaruhi harga sebuah polisi. Semakin mahal matawangnya, semakin tinggi kos yang terlibat. Misalnya, kos insurans dan takaful perjalanan ke negara Eropah selama tiga bulan berjumlah RM800, manakala ke negara Malaysia (domestik) pula berkadar RM400 sahaja. Selain daripada matawang yang berbeza, risiko tinggi juga memainkan peranan dalam menentukan harga sebuah polisi. Contohnya, negara yang terdedah kepada bencana alam. Semakin berisiko sesebuah destinasi itu, semakin mahal harga insurans dan takaful perjalanannya.
iii. Konvensional atau takaful?
Anda juga perlu menentukan sama ada untuk membeli insurans konvensional atau takaful. Antara perbezaan yang paling ketara dan mudah difahami tentang perbezaaan dua jenis polisi ini ialah; dana insurans konvensional bebas dilaburkan dalam semua bentuk pelaburan dan prosedurnya tidak menetapi syariah seperti terdapat unsur faedah, judi serta meragukan. Berbeza dengan takaful, dana hanya boleh dilaburkan dalam pelaburan yang patuh syariah dan bebas daripada segala unsur faedah, perjudian dan meragukan.
Bagi umat Islam, anda mestilah memilih jenis takaful kerana ianya menepati kehendak syariah. Ini selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK) yang sebulat suara memutuskan bahawa insurans konvensial adalah haram kerana ianya mempunyai kriteria yang tidak memenuhi ajaran Islam.
iv. Individu, keluarga atau kumpulan?
Seterusnya, ketahui berapa atau siapa yang ingin diinsuranskan. Kategori ini dapat dibahagikan kepada tiga; individu, keluarga atau kumpulan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pertambahan bilangan dalam pihak yang diinsuranskan akan mengakibatkan pertambahan dalam kos insurans dan takaful perjalanan. Namun begitu, pembelian secara berkeluarga atau berkumpulan sudah tentu menjamin penjimatan yang mengujakan!
v. Bandingkan harga!
Ini merupakan antara perkara yang mustahak sebelum anda memutuskan untuk membeli insurans dan takaful perjalanan daripada sesebuah syarikat. Bandingkan harga! Dengan kemunculan portal perbandingan harga insurans dan takaful perjalanan seperti Bjak, Qoala dan Fincrew,proses ini menjadi semakin mudah dan pantas! Terdapat pelbagai jenis syarikat terbaik yang menawarkan pelan perlindungan yang menguntungkan buat para pelancong.
vi. Apa yang dilindungi dan dikecualikan.
Yang terakhir sekali, ambil tahu apa yang dilindungi dan dikecualikan pihak insurans berkenaan. Umumnya, syarikat – syarikat ini menawarkan manfaat perlindungan yang lebih kurang sama tetapi dengan harga yang kompetitif. Semakin mahal harga insurans dan takaful perjalanan tersebut, semakin bervariasi manfaat perlindungan dan besar kadar pampasan yang diperoleh pembeli.
Berikut merupakan contoh manfaat yang disediakan oleh pihak insurans:
Manfaat kemalangan diri
Perbelanjaan perubatan Covid-19 dan lain-lain
Pemindahan dan pengahantaran pulang kecemasan
Perlindungan bagasi dan barang-barang peribadi
Kelewatan bagasi
Perlindungan wang peribadi dan dokumen perjalanan
Pembatalan, penangguhan, pemendekkan, kelewatan dan terlepas perjalanan
Liabliti peribadi
Kesulitan akibat rampasan
Penerbangan lebih tempahan
Kehilangan wang pendahuluan akibat kegagalan ejen perjalanan
Pembayaran balik kad kredit
Perlindungan isi rumah
Perkhidmatan perubatan kecemasan
Perlindungan keganasan penuh
Berikut merupakan contoh pengecualian oleh pihak insurans:
Bunuh diri atau cubaan membunuh dan mencederakan diri sama ada sedang waras atau tidak waras.
Semasa sedang terlibat dalam sebarang sukan professional.
Semasa sedang melakukan atau dalam percubaan untuk melakukan sebarang tindakan yang melanggar undang-undang.
Melahirkan anak, keguguran, mengandung atau sebarang komplikasi berkaitan.
Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS) atau Kompleks Berkaitan AIDS (ARC) tanpa mengambil kira bagaimana anda dijangkiti.
Perjalanan sebagai krew pesawat.
Ubat-ubatan, dimana pada masa berlepas telah diketahui ianya diperlukan atau perlu disambung pengambilannya di luar negara.
Rawatan atau perkhidmatan yang disediakan oleh spa kesihatan, rumah rawatan atau pusat pemulihan.
Menerima rawatan sebagai pesakit dalam wad atau berada di dalam senarai menunggu untuk rawatan dalam wad.
Perjalanan yang bertentangan dengan nasihat pengamal perubatan, atau untuk mendapatkan nasihat perubatan atau rawatan di luar negara.
Berada dibawah pengaruh dadah atau lain-lain penyalahgunaan (selain daripada apa yang telah diberikan oleh pengamal perubatan tetapi bukan untuk tujuan rawatan untuk ketagihan dadah.
Berada dibawah pengaruh alkohol atau minuman keras yang memabukkan.
Keadaan kesihatan yang wujud terlebih dahulu.
Pembedahan kosmetik.
Pemeriksaan perubatan yang tidak berbentuk kecemasan.
Kegagalan mendapatkan vaksin yang perlu sebelum berlepas.
Penyakit atau keadaan psikologi yang tidak menentu, "nervous depressions", sebarang keadaan yang tidak stabil dan/ atau penyakit mental.
Sebarang kerugian akibat secara langsung dan tidak langsung daripada penyakit berjangkit yang diisytiharkan sebagai wabak/pandemik yang dikeluarkan oleh Kesihatan Sedunia Organisasi (kecuali perbelanjaan perubatan Covid-19 yang ditanggung semasa melancong ke luar negara tetapi tidak termasuk kos pengasingan, kuarantin dan ujian Covid-19).
3. Di mana mahu membeli insurans dan takaful perjalanan ini?
Antara portal dan tempat selamat untuk anda membeli polisi ini ialah di Bjak, Qoala dan Fincrew! Portal-portal ini menawarkan urusan pembelian insurans dan takaful perjalanan dengan mudah, pantas dan selamat. Selain daripada itu, terdapat pelbagai badan insurans dan takaful perjalanan terbaik untuk dipilih dan dibandingkan harga serta manfaatnya.
Alangkah ruginya jika anda terlepas daripada membeli polisi perlindungan ini kerana begitu banyak manfaat yang akan diperoleh! Umpama peribahasa sediakan payung sebelum hujan, begitulah peranan insurans dan takaful perjalanan ini dalam melindungi keselamatan dan kesejahteraan anda ketika melancong. Semoga rencana ini sedikit sebanyak memberi kesedaran dan pengetahuan tentang perkara-perkara yang anda perlu tahu sebelum membeli insurans dan takaful perjalanan supaya tidak menyesal di kemudian hari. Jom beli insurans dan takaful perjalanan pada hari ini!
Comments